Pada umumnya kontrak sosial mempunyai kepentingannya yang tersendiri.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, kontrak sosial penting
untuk mewujudkan masyarakat yang kental, utuh dan kukuh berasaskan
kesedaran terhadap pentingnya faham memahami, hormat menghormati, harga
menghargai dan bertolak ansur. Manfaatnya terjelma dalam kehidupan
sebauah negara yang aman damai dapat dinikmati bersama. Justeru kontrak
sosial adalah semangat dalaman yang kepentingannya tidak semata-mata
dihujahkan dengan bersandarkan perundangan dan perbincangan ilmiah,
tetapi juga dari segi hakikat sejarah dan keikhlasan hati menjunjung
hasrat murni sebuah negara.
Secara ringkas, antara lain kepentingan kontrak sosial ini dapat dirumuskan sebagai berikut:
- Untuk melanjutkan kelangsungan pentadbiran yang cekap;
- Untuk mewujudkan keadaan politik yang stabil;
- Untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat;
- Untuk memupuk semangat petriotisme dan cintakan tanahair;
- Untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dan adil;
- Untuk mencapai integrasi nasional; dan
- Untuk menjamin hak-hak istimewa orang-orang Melayu.
Kontrak sosial di Malaysia lebih merujuk kepada permuafakatan dan perkongsian hidup bersama secara aman harmoni antara penduduk dalam masyarakat majmuk di negara ini. Seperti dalam mana-mana kontrak atau perjanjian, walaupun ada sebahagiannya yang tidak disuratkan dan boleh dipinda mengikut keadaan, namun segala perubahan itu mestilah merupakan persetujuan bersama atau keizinan bersama. Kontrak atau perjanjian tidak boleh diubah secara satu pihak sahaja. Semua yang terlibat dalam perjanjian itu mesti setuju kepada perubahan dan pindaan. Apatah lagi kontrak sosial itu telah diinstitusikan dengan menyuratkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di samping itu, asal usul dan rintitan sejarah kontrak sosial ini mesti didedahkan, diperturunkan, dipelajari dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat, terutama generasi muda daripada kalangan anak-anak Melayu, Cina dan India. Mereka mesti memahami dan menghargai apa yang tersirat dan yang tersurat dalam kontrak sosial itu. Hal ini amat penting kerana kontrak sosial dapat diertikan sebagai resipi kehidupan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, aman makmur dan harmoni. Penyebaran luas maklumat mengenai kontrak sosial perlu dijalankan secara sungguh-sungguh, terutama melalui sistem pendidikan di pelbagai peringkat – rendah, mengenah, kolej dan universiti.
Sebagai kesimpulan, kontrak sosial adalah satu formula mewujudkan satu cara hidup yang dinamik, aman dan terus membangun melalui perpaduan dalam kepelbagaian berasaskan prinsip berkongsi, bekerjsama, toleransi dan bersatu padu. Formula ini sebahagian besarnya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan, yang diamalkan secara bijaksana dalam satu pakatan agung negara dengan inspirasi untuk membawa Malaysia muncul dalam peta dunia sebagai sebuah negara maju.
No comments:
Post a Comment